Seminar Tadbir Urus Perkukuh Persatuan Melanau Sebagai Rakan Strategik Pembangunan Sarawak
KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS) mahu persatuan-persatuan Melanau di seluruh Sarawak memperkukuh aspek pengurusan dan tadbir urus bagi memastikan organisasi terus berdaya maju.
Pengerusi LAKKMS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pentadbiran yang baik perlu disokong dengan pengurusan organisasi dan kewangan yang teratur, penyimpanan rekod yang sistematik, pengurusan mesyuarat yang berkesan serta pematuhan terhadap perlembagaan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Menurutnya, aspek berkenaan penting bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan persatuan dilaksanakan secara teratur, telus dan bertanggungjawab.
“Pendekatan ini diharap dapat membantu persatuan menangani cabaran pengurusan yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada Seminar Pengurusan dan Tadbir Urus LAKKMS di sini, baru baru ini.
Seminar itu disertai kira-kira 40 pemimpin persatuan Melanau dari Kuching, Sibu, Sarikei, Matu Daro, Mukah, Balingian, Bintulu dan Miri.
Datu Awang Zamhari berkata, pengukuhan tadbir urus bukan sahaja penting bagi memastikan kelancaran pentadbiran persatuan, malah dapat meningkatkan keupayaan organisasi untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat.
Beliau turut berharap persatuan-persatuan Melanau dapat terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta memastikan masyarakat Melanau terus maju dan mengambil bahagian dalam agenda pembangunan Sarawak.
Dalam program sama, LAKKMS turut menyampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik kepada 75 anak masyarakat Melanau yang mencatat pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.-EDISI UKAS