SUKMA XXII: Dua Aksi, Dua Kemenangan Buat Polo Air Wanita Sarawak
SELANGOR: Pasukan polo air wanita Sarawak meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan membenam Wilayah Persekutuan 19-6 di Pusat Akuatik Darul Ehsan pada Khamis, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut.
Berbekalkan keyakinan selepas menewaskan Pulau Pinang dalam aksi pembukaan pada Rabu, skuad wanita Sarawak sekali lagi mempamerkan aksi bertenaga meskipun bermula sedikit perlahan apabila ketinggalan 2-3 pada suku pertama.
Sarawak kemudian bangkit mendominasi suku kedua dengan mencatat enam mata berbanding hanya satu mata oleh Wilayah Persekutuan untuk mengubah kedudukan kepada 8-4.
Penguasaan Sarawak berterusan pada suku ketiga apabila menambah enam lagi mata, manakala Wilayah Persekutuan sekadar memperoleh dua mata.
Memasuki suku keempat, Sarawak tidak memberi ruang kepada lawan untuk bangkit apabila menambah lima mata tanpa balasan bagi melengkapkan kemenangan bergaya 19-6.
Kemenangan itu menyaksikan skuad wanita Sarawak mengekalkan rekod bersih selepas dua perlawanan, sekali gus menyuntik keyakinan pasukan untuk meneruskan cabaran dalam aksi seterusnya.
Hadir menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef de Mission Kontinjen Sarawak ke SUKMA XXII Selangor 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.-EDISI UKAS