Karnival AgriKomoditi MADANI Sarikei Ketengahkan Potensi Ekonomi Sektor Komoditi
SARIKEI: Karnival AgriKomoditi MADANI Zon Sarikei menjadi platform untuk memperkenalkan potensi sektor agri-komoditi serta peluang ekonomi berkaitan kepada masyarakat setempat.
Karnival anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) itu akan berlangsung di Dewan Sentral Sarikei, Jumaat ini, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dijadual menyempurnakan karnival berkenaan, manakala Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii turut dijadual hadir.
Bertemakan ‘Memperkasa Komoditi, Memperkukuh Agrikomoditi Negara’, karnival tersebut bakal mengetengahkan pelbagai produk, aktiviti dan inisiatif berkaitan sektor agri-komoditi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara pengisian utama ialah program jualan minyak masak terpakai pada harga RM3 sekilogram, yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang di perkarangan tempat letak kereta Dewan Sentral Sarikei.
Sebanyak 40 tong percuma turut disediakan kepada pelanggan terawal sebagai galakan kepada masyarakat mengumpul dan mengitar semula minyak masak terpakai.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi nilai ekonomi kepada sisa minyak masak, malah membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menggalakkan amalan kitar semula secara bertanggungjawab.
Karnival bakal menampilkan pameran produk agri-komoditi, demonstrasi pembuatan coklat, Sukan Rakyat serta cabutan bertuah untuk pengunjung.
Antara aktiviti Sukan Rakyat yang disediakan ialah Boling Kelapa, Penalti Cup dan Lucky Rings yang terbuka kepada orang ramai.
Orang ramai khususnya penduduk Sarikei dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai sektor agri-komoditi, meneroka peluang ekonomi serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang karnival.-EDISI UKAS