PPRMS Beri Sinar Baharu Kepada 16 Keluarga Rumah Malian
SELANGAU: Impian untuk menikmati kediaman yang lebih selesa kini menjadi kenyataan buat keluarga 16 pintu di Rumah Malian @ Meliyu Intong, Nanga Tebalong, Oya menerusi pelaksanaan Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
Antara kerja penambahbaikan yang dilaksanakan ialah penggantian tingkap lama kepada tingkap jenis 'sliding door' yang dapat membantu meningkatkan pencahayaan dan pengudaraan, selain memberikan keselesaan lebih baik kepada penghuni.
Penambahbaikan berkenaan bukan sahaja memberi perubahan dari aspek fizikal kediaman, malah diharap dapat mewujudkan persekitaran rumah yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan serta kebajikan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian.-EDISI UKAS