100 Pekebun Kecil Sertai Program Pembangunan Kapasiti Sagu 2026 di Mukah
MUKAH: Seramai 100 pekebun kecil sagu dari pelbagai kawasan menyertai Program Pembangunan Kapasiti Pekebun Kecil Sagu 2026 sekali gus memperkukuh pengetahuan dan kemahiran golongan berkenaan dalam pembangunan industri sagu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata penganjuran program itu amat bertepatan dengan usaha kerajaan memastikan pembangunan industri sagu dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja menerusi pembangunan fizikal dan penyediaan kemudahan, malah pembangunan modal insan.
Menurut beliau, pekebun kecil merupakan antara pemegang taruh utama yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan bekalan bahan mentah serta pembangunan industri sagu secara keseluruhannya.
“Usaha memperkasakan pekebun kecil perlu diberikan perhatian secara berterusan supaya mereka bukan sahaja mampu mengusahakan kebun secara tradisional, tetapi turut mempunyai pengetahuan dan keupayaan mengurus hasil tanaman menggunakan teknologi secara sistematik, produktif dan berorientasikan kebolehpasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pembangunan Kapasiti Pekebun Kecil Sagu 2026 di Kingwood Resort Mukah, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) melaksanakan Program Pemulihan dan Pemerkasaan Pekebun Kecil Sagu yang merangkumi beberapa inisiatif utama.
Inisiatif tersebut termasuk pembangunan infrastruktur jalan ladang, pemberian insentif Baja Fertara, pemulihan kebun sagu serta pembangunan kapasiti pekebun kecil.
"Pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh dalam menangani keperluan pekebun kecil di peringkat akar umbi.
"Bagaimanapun, keberkesanan setiap program bukan hanya bergantung kepada bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan atau agensi pelaksana, sebaliknya turut memerlukan komitmen pekebun sendiri untuk memanfaatkan segala sokongan, pengetahuan dan peluang yang diberikan," ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Yakub turut menekankan kepentingan kemajuan teknologi, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan dalam pembangunan industri sagu pada masa hadapan.
"Saya berharap segala ilmu, pengalaman dan perkongsian yang diperoleh sepanjang program dapat diterjemahkan kepada amalan yang membawa perubahan nyata, selain peserta terus menyokong program pembangunan kerajaan dan SNDB dalam usaha memajukan industri sagu Sarawak," tambahnya.
Turut hadir, Pengerusi SNDB Zaidell Hussaini dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.-EDISI UKAS