BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai XPDC 3.0 ke Ulu Skrang, Ulu Entabai dan Ulu Kota bagi meninjau keadaan jalan serta kemudahan infrastruktur di kawasan pedalaman pada Khamis.
Menurut Datuk Amar Douglas, ekspedisi tersebut merupakan XPDC ketiga selepas sebelum ini dilaksanakan di Bario dan pedalaman Belaga.
“Pada hari ini kita akan mengadakan ekspedisi yang ketiga. Sebelum ini kita telah mengadakan dua XPDC, pertama ke Bario dan kedua ke pedalaman Belaga. Kali ini kita akan pergi ke Ulu Kota, Ulu Skrang dan Ulu Entabai,” katanya.
Beliau berkata, antara tumpuan utama XPDC 3.0 adalah menilai keadaan jalan bekas balak yang berpotensi dinaik taraf bagi menghubungkan kawasan pedalaman yang masih belum mempunyai akses jalan yang sempurna.
“Keadaan jalan balak ini memang perlu dinaik taraf. Jadi pada hari ini kita turun sendiri bersama pasukan teknikal supaya kita dapat menilai apa yang patut kita lakukan terhadap jalan-jalan bekas balak ini,” ujarnya.
Sepanjang ekspedisi, rombongan turut meninjau beberapa projek infrastruktur di Ulu Skrang termasuk Jalan Pinchoh serta Jambatan Menggong dan Jambatan Penabun sebelum meneruskan perjalanan ke Ulu Entabai dan Ulu Kota.
Di Ulu Kota, rombongan meninjau Projek Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jalan Penghubung serta Naik Taraf Jalan Ulu Kota Fasa 3 bernilai RM247 juta.
Program anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman itu berlangsung dari 12 hingga 13 Ogos 2026 dan melibatkan pasukan teknikal serta agensi berkaitan.
Turut menyertai ekspedisi ialah Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidil Lariwoo, Pengarah Kerja Raya Negeri Sarawak Datu Prof. Dr. Cassidy Moris, ADUN Pakan Tan Sri Dato Sri William Mawan, ADUN Meluan Dato Rolland Duat, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, ADUN Engkelili Dr. Johnical Rayong Ngipa serta Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas.-EDISI UKAS