Sarawak Sasar Pelaburan China Dalam Teknologi Hijau, AI
SHANGHAI: Sarawak menyasarkan lebih banyak pelaburan dari China dalam sektor teknologi hijau, penyimpanan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital bagi memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga hijau Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hubungan ekonomi Sarawak-China mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan.
Katanya, bidang yang mempunyai potensi besar termasuk tenaga boleh diperbaharui, teknologi bateri dan sistem penyimpanan tenaga (ESS), selain ekonomi kitaran seperti teknologi waste-to-energy dan bahan binaan lestari.
“Lebih 70 peratus penjanaan elektrik Sarawak datang daripada tenaga hidro bersih, disokong peningkatan pelaburan dalam tenaga solar dan sumber tenaga boleh diperbaharui lain,” katanya ketika berucap pada Sarawak-China Strategic Investment Roundtable di Shanghai hari ini.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, Sarawak turut membuka peluang kerjasama dalam automasi, AI dan robotik bagi sektor pembinaan serta pembuatan, selain membangunkan ekosistem pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Menurut beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, perdagangan dua hala Sarawak-China mencecah RM26.8 bilion pada 2024, manakala Sarawak merekodkan RM116 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Beliau berkata, pengiktirafan Bintulu oleh World Economic Forum pada Jun lalu sebagai antara 36 ‘Transitioning Industrial Clusters’ dunia dan satu-satunya di Asia Tenggara turut memberi kelebihan kepada Sarawak dalam menarik industri yang mahu mengurangkan jejak karbon.
“Kita mahu bergerak melangkaui perbincangan dan menterjemahkan perbualan hari ini kepada pelaburan konkrit, pemindahan teknologi, perkongsian tempatan yang lebih kukuh serta kejayaan jangka panjang bersama,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak bukan sekadar mencari pelaburan, sebaliknya menawarkan peluang perkongsian kepada pelabur dengan sokongan kerajaan sepanjang perjalanan pelaburan, daripada peringkat konseptualisasi hingga pelaksanaan dan operasi. -EDISI UKAS