SBP Rapatkan Jurang Penyelidikan, Industri Bagi Pacu Inovasi Bio
KOTA SAMARAHAN: Taman Bioindustri Sarawak (SBP) bakal mempercepatkan pembangunan inovasi bio dengan merapatkan jurang antara penemuan penyelidikan dan keperluan industri, sekali gus membuka ruang kepada penghasilan produk berasaskan bio untuk pasaran global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, SBP akan menyediakan akses kepada kemudahan khusus dan kepakaran yang diperlukan industri untuk mengatasi cabaran dalam menterjemahkan penemuan saintifik kepada produk komersial.
“Ini membolehkan perniagaan membangunkan, mengesahkan dan meningkatkan skala produk berasaskan bio dengan lebih pantas untuk pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian SBP yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, pendekatan berkenaan penting bagi syarikat pemula, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat makanan tambahan serta syarikat teknologi yang memerlukan akses kepada kemudahan dan kepakaran khusus tanpa menanggung modal permulaan yang tinggi.
Katanya, SBP juga akan membolehkan universiti dan institusi penyelidikan menyelaraskan hasil kerja mereka dengan keperluan pasaran agar penemuan saintifik dapat dikembangkan daripada penyelidikan kepada prototaip, pengesahan dan harta intelek yang boleh dimanfaatkan industri.
“Penyelidikan hanya menghasilkan nilai apabila pengetahuan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Dato Sri Roland Sagah menambah, Sarawak mempunyai asas penyelidikan yang kukuh menerusi Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), termasuk koleksi lebih 29,000 ekstrak tumbuhan dan 24,000 strain mikrob yang berpotensi diterokai dalam bidang kesihatan, pertanian, makanan, bahan bio dan kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan industri bio masa depan memerlukan penggabungan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, pembuatan termaju dan teknologi digital bagi menghasilkan inovasi yang lebih bersepadu.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat bagi memastikan ekosistem inovasi tersebut disokong tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan saintifik, kemahiran teknikal dan pemikiran keusahawanan.
Menurutnya, kerjasama antara universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), organisasi penyelidikan serta industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan industri bernilai tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya akan terus memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan, rakan antarabangsa dan industri bagi membangunkan ekosistem inovasi yang menyokong penggunaan biodiversiti secara lestari, keusahawanan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan industri.
Beliau turut menegaskan pembangunan industri bio perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab menerusi perkongsian akses dan manfaat bagi memastikan biodiversiti Sarawak terus dilindungi, selain manfaat daripada penggunaannya dikongsi secara adil dengan komuniti yang memelihara sumber berkenaan.
Sementara itu, pembangunan Hab Utama SBP di kawasan seluas 100 ekar dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan, dengan kemudahan merangkumi makmal penyelidikan, kemudahan pemprosesan berskala perintis, ruang kerjasama serta sokongan pembuatan yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Kemudahan berkenaan akan membantu merapatkan jurang antara penemuan saintifik dengan kesediaan pasaran, termasuk membolehkan penyelidik, syarikat pemula dan pemain industri menguji teknologi, meningkatkan pengeluaran serta memenuhi keperluan kawal selia.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Kian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS