Teknologi Semikonduktor Sarawak Tembusi Pasaran Global
SHANGHAI: Teknologi semikonduktor yang dibangunkan di Sarawak berpeluang menembusi pasaran tenaga global menerusi kerjasama strategik antara SMD Semiconductor Sdn. Bhd. dan Jiangsu Linyang Energy Co., Ltd. (Linyang Energy).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persetujuan (MoA) bagi penggunaan penyelesaian semikonduktor kuasa SMD, termasuk teknologi Gallium Nitride (GaN), dalam produk meter pintar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) Linyang Energy.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama itu memperkukuh hubungan antara pembangunan industri semikonduktor Sarawak dengan sektor tenaga bersih.
Beliau berkata gabungan keupayaan semikonduktor Sarawak dengan kepakaran Linyang Energy dalam meter pintar dan penyimpanan tenaga mampu menghubungkan dua sektor strategik yang penting kepada masa depan industri.
Kerjasama itu turut membuka laluan kepada teknologi SMD untuk bergerak daripada peringkat pembangunan dan kelayakan kepada aplikasi komersial berskala tinggi melalui rangkaian pelanggan antarabangsa Linyang Energy.
Pada peringkat awal, kedua-dua syarikat akan memberi tumpuan kepada penilaian teknikal, pemadanan produk, reka bentuk, kelayakan dan pengkomersialan teknologi berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Presiden Linyang Group merangkap Pengerusi Linyang Energy Lu Yonghua, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil, CAIO Linyang Group Dr Hu Shenggang, Pengurus Besar Overseas PV & ESS Yuan Hairong, serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS