KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada 154 penerima pada Khamis.
Mengiringi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Daripada jumlah itu, 12 individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K), termasuk Peguam Kanan Negeri Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Mohd Adzrul Adzlan, Timbalan Pengarah (Industri Ternakan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr William Rovina Nating dan Ketua Bahagian Pembangunan Bandar Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Forkanizam Dolhadi.
Turut menerima P.B.K ialah Dr Nik Azim Nik Abdullah, Dr Aini Fahriza Ibrahim, Dr Rokayah Julaihi, Alison Buda, Knot Atok, Samai Bajan, Zaidi Sarkawi, Gerard George Entigar dan Thadeus Ling Bartholomew Allu.
Sementara itu, 19 penerima dikurniakan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B), termasuk Mejar Jeffery Ling Jalak, Profesor Madya Dr Ahmad Nizar Ya’akub, Abang Masli Abang Willie, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat, Andrew Modol, Hardi Sapiei, Mahathir Mohammad, McWillyn Jiok, Sam Budi, Christhe Mansom dan Emelia Tambi.
Seterusnya, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) dikurniakan kepada beberapa penerima termasuk Muhammad Johan Ghazali, Anderson Kalang Lah, Baling Ellison Duren dan Bangsawan Jahri.
Seramai 21 individu pula menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K), antaranya Ahmad Nur Irfan Amirruddin, Jungan Buda, Sebastian Kaban Apong dan Mellissa Ogang.
Selain itu, seramai 42 penerima menerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T), manakala 45 penerima dianugerahkan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S).
Istiadat berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS