Sarawak Terus Labur Dalam R&D, Pacu Ekonomi Baharu
KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan meneruskan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh keupayaan saintifik serta mengkomersialkan kekayaan biodiversiti sebagai pemacu ekonomi baharu negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaburan berterusan dalam penyelidikan penting bagi membolehkan Sarawak meneroka sumber biodiversiti sendiri dan menghasilkan produk bernilai tinggi yang memenuhi keperluan pasaran.
“Saya akan melabur dalam penyelidikan. Saya akan melaburkan hasil yang kita ada kembali kepada penyelidikan dan biarlah kita menjadi pemain dalam ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Foundation Laying & Exchange of Agreements Ceremony for Sarawak Bioindustrial Park (SBP)’ di sini pada Khamis.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kekayaan biodiversiti Sarawak, khususnya sumber hutan dan tumbuhan yang mempunyai potensi perubatan, perlu diteroka menerusi pendekatan saintifik sebelum diterjemahkan kepada produk yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, SBP akan memainkan peranan penting sebagai penghubung antara penyelidikan yang dijalankan di Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dengan aplikasi industri dan pengeluaran produk secara komersial.
“Penyelidikan boleh dilakukan di SBC. Daripada hasil penyelidikan itu, ia mesti diaplikasikan kepada produk industri dan taman ini menjadi tempat untuk memfokuskan aplikasi teknologi yang kita peroleh,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan akan membolehkan sumber biodiversiti Sarawak diberi nilai tambah melalui sains dan teknologi, sekali gus membuka ruang kepada negeri ini untuk menjadi hab bioekonomi yang strategik di rantau ini.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data DNA boleh dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada penyelidikan biodiversiti, termasuk dalam usaha mengenal pasti sebatian yang berpotensi dibangunkan menjadi produk kesihatan.
Menurutnya, perkembangan industri bioteknologi global turut membuka ruang luas kepada Sarawak untuk menyumbang dalam sektor berkenaan dengan memanfaatkan kelebihan sumber semula jadi yang dimiliki.
Ujarnya lagi, Sarawak memerlukan lebih ramai saintis yang mampu menjalankan penyelidikan terhadap tumbuhan dan sumber tempatan serta menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau berkata, pembangunan kapasiti saintifik itu amat penting ketika Sarawak beralih daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi baharu yang turut dipengaruhi perubahan iklim.
Sementara itu, pembangunan Hab Utama SBP di kawasan seluas 100 ekar dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan, dengan kemudahan merangkumi makmal penyelidikan, kemudahan pemprosesan berskala perintis, ruang kerjasama serta sokongan pembuatan yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Kemudahan berkenaan akan membantu merapatkan jurang antara penemuan saintifik dengan kesediaan pasaran, termasuk membolehkan penyelidik, syarikat pemula dan pemain industri menguji teknologi, meningkatkan pengeluaran serta memenuhi keperluan kawal selia.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran lapan perjanjian kerjasama dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara BioVerde Technologies Sdn Bhd dengan sektor korporat meliputi bidang farmaseutikal, biokonversi sisa, makanan berfungsi, terapi sel dan gen, perubatan regeneratif, produk berasaskan sagu serta perkhidmatan pensijilan dan sokongan teknikal.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Kian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS