KOTA SAMARAHAN: Sarawak melihat pasaran global bioproduk bernilai sekitar 4.3 trilion dolar Amerika Syarikat sebagai peluang besar untuk menarik pelaburan dan memperluas pengkomersialan produk berasaskan biodiversiti negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, permintaan terhadap bioproduk, khususnya produk berkaitan kesihatan, menunjukkan potensi besar untuk diterokai Sarawak.
“Daripada Fortune Insight, perniagaan berdasarkan bioproduk adalah sekitar AS$4.3 trilion. Ini bermaksud ada peningkatan dan permintaan di pasaran untuk produk kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis ‘Foundation Laying & Exchange of Agreements Ceremony for Sarawak Bioindustrial Park (SBP)’ di Kota Samarahan, pada Khamis.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai sumber biodiversiti yang boleh dimanfaatkan secara terancang bagi menarik pelabur untuk bekerjasama dengan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).
Katanya, pembangunan kawasan bioindustri berkenaan boleh diperluas bagi menyediakan ruang kepada pelabur bekerjasama dengan SBC, khususnya dalam mengembangkan produk yang telah dihasilkan melalui penyelidikan.
“Kita boleh mengembangkannya supaya pelabur bekerjasama dengan SBC,” ujarnya.
Menurut Premier Sarawak, SBC mempunyai pelbagai produk yang berpotensi untuk dikomersialkan dan didagangkan, sekali gus membuka peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan penyertaan dalam pasaran bioproduk global.
Katanya, pendekatan menarik pelabur untuk bekerjasama secara langsung dengan institusi penyelidikan tempatan penting bagi memastikan potensi produk berasaskan biodiversiti dapat dikembangkan mengikut keperluan pasaran.
Beliau berkata, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan dengan mengambil pendekatan yang terancang dalam penggunaan sumber biodiversiti Sarawak, khususnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk berkaitan kesihatan.-EDISI UKAS