Penghayatan Al-Quran Asas Pembentukan Ummah Maju Makmur
LAWAS: Penghayatan terhadap Al-Quran perlu diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan bersatu padu sebagai asas kepada pembentukan ummah yang maju dan makmur.
Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Lawas, Ikram Jamil berkata, Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan, malah perlu dijadikan panduan dalam membentuk keperibadian dan kehidupan masyarakat.
“Usaha membina ummah yang maju dan makmur hendaklah bermula dengan membentuk generasi yang mencintai Al-Quran, menghayati ajarannya serta menjadikannya sebagai pedoman hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Sundar/Awat-Awat Tahun 1448H/2026M di Masjid Besar Sundar, di sini, pada Selasa.
Ikram berkata, tema ‘Ummah Maju Makmur’ menekankan kepentingan mengimbangi pembangunan material dengan kekuatan rohani, akhlak dan penguasaan ilmu.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan masyarakat supaya membimbing generasi muda mendekati Al-Quran, memperelok bacaan, memahami kandungannya serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan.
Beliau turut menggalakkan masyarakat terus mengimarahkan masjid dan surau menerusi program keagamaan sebagai platform memperkukuh penghayatan Islam dan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran.
Majlis yang berlangsung selama dua malam itu menyaksikan penyertaan lima qari dan empat qariah.
Sabdillah Yusuf dinobatkan sebagai Johan Qari, manakala Zulaikha Soh Abdullah muncul Johan Qariah pertandingan berkenaan. -EDISI UKAS