MIRI: Pendidikan tinggi perlu disusuli peluang pekerjaan dan kerjaya yang bermakna bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan modal insan dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi sebenar untuk golongan muda dan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, kerjasama erat antara institusi pendidikan, kerajaan dan industri penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memperoleh kelayakan akademik, malah mempunyai laluan jelas untuk memasuki alam pekerjaan serta membina kerjaya.
“Pendidikan tanpa peluang adalah tidak lengkap. Golongan muda bukan sahaja memerlukan pengetahuan, tetapi juga laluan kepada pekerjaan, keusahawanan dan kerjaya yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Curtin Malaysia X MYFutureJobs Careers Fair 2026 di Recreation & Event Centre, Universiti Curtin Malaysia, di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Dennis, penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan hampir 50 organisasi daripada pelbagai industri membolehkan pelajar, graduan dan pencari kerja berinteraksi secara langsung dengan majikan serta memahami keperluan sebenar industri.
Katanya, kerjasama sulung antara Curtin Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan MYFutureJobs turut memperlihatkan kepentingan penyatuan tiga komponen utama iaitu pendidikan, kerajaan dan industri dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan.
“Kerjasama seperti ini yang kita perlukan jika mahu memperkukuh kebolehpasaran graduan dan memastikan pelaburan kita dalam pendidikan diterjemahkan kepada peluang ekonomi sebenar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Dennis berkata landskap pekerjaan kini berubah dengan pantas susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, automasi, tenaga boleh diperbaharui dan model perniagaan baharu.
Sehubungan itu, katanya, graduan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang relevan, selain bersikap fleksibel, inovatif dan berdaya tahan serta bersedia untuk terus belajar sepanjang kerjaya.
Ujarnya lagi, keperluan membangunkan bakat berkualiti semakin penting selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperluas ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju, pelancongan, penjagaan kesihatan dan sektor strategik lain.
Beliau turut melihat pembangunan Miri Kenyalang Smart City sebagai peluang untuk Curtin Malaysia memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekonomi baharu di Sarawak Utara, khususnya melalui bidang teknologi digital, AI, kejuruteraan, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur pintar, penyelidikan dan keusahawanan.
Dalam pada itu, Dato Dennis menekankan kepentingan memastikan peluang pendidikan dan pembangunan kerjaya turut dapat diakses golongan muda di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau mencadangkan supaya Curtin Malaysia mempertimbangkan kerjasama dengan SMK Long Bedian di Telang Usan bagi menyediakan pendedahan kepada pelajar menerusi program STEM, bimbingan, pembelajaran digital, pembangunan bahasa Inggeris dan pengenalan kepada kehidupan universiti.
Katanya, latar belakang atau lokasi luar bandar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada golongan muda untuk melanjutkan pengajian dan membina kerjaya profesional.
Beliau turut menggesa pelajar dan pencari kerja supaya memanfaatkan pameran berkenaan dengan berinteraksi secara langsung bersama majikan, memahami keperluan industri dan mengenal pasti peluang yang sesuai dengan kemahiran masing-masing. -EDISI UKAS