Abner Dominggo Harumkan Nama Limbang & Malaysia Di Pentas Antarabangsa
LIMBANG: Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) St Edmund Limbang, Abner Dominggo Collin, mengharumkan nama Limbang dan Malaysia selepas mencatat kejayaan pada Pertandingan TeenEagle Global Final 2026 di United Kingdom, yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos lepas.
Memetik laporan TVS pada Khamis, Abner sebelum ini meraih emas pada peringkat kebangsaan dan serantau sebelum melangkah ke pentas antarabangsa.
Pada pusingan akhir, beliau meraih pingat emas bagi kategori ‘Receptive Skills’ dan pingat perak bagi ‘Productive Skills’.
Menurut Guru Besar SK St Edmund, Anthony Upe, kejayaan itu membuktikan murid dari luar bandar seperti Limbang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan Abner ini bukan sahaja menaikkan nama sekolah, malah menjadi inspirasi serta penanda aras baharu buat seluruh murid SK St Edmund untuk berani berimpian besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Guru Penyelaras, Jemima Tuah, berkata kejayaan Abner melangkah ke pusingan akhir di United Kingdom adalah hasil komitmen, disiplin dan kerja keras yang tidak berbelah bahagi.
“Kami berharap pengalaman di pentas antarabangsa ini menjadi batu loncatan untuk Abner terus cemerlang pada masa hadapan,” ujarnya.-EDISI UKAS