Jalan Bekas Balak Bakal Jadi Laluan ‘Last Mile’ Hubung Pedalaman
BETONG: Kerajaan Sarawak sedang menilai potensi jalan-jalan bekas balak untuk dinaik taraf sebagai laluan last mile bagi menghubungkan kawasan pedalaman yang masih belum mempunyai akses jalan raya yang sempurna.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penilaian tersebut dilaksanakan menerusi XPDC 3.0 yang melibatkan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan ke kawasan Ulu Skrang, Ulu Entabai dan Ulu Kota.
Menurut beliau, ekspedisi berkenaan membolehkan pihaknya melihat sendiri keadaan jalan bekas balak yang berpotensi untuk dinaik taraf bagi meningkatkan ketersampaian penduduk di kawasan pedalaman.
“Matlamat kita adalah melihat keadaan jalan-jalan bekas balak yang sekarang kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih kerja-kerja membina jalan ini.
“Keadaan jalan balak ini memang perlu dinaik taraf. Jadi pada hari ini kita turun sendiri bersama pasukan teknikal supaya kita dapat menilai apa yang patut kita lakukan terhadap jalan-jalan bekas balak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai pelepasan XPDC 3.0 di perkarangan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Douglas berkata XPDC 3.0 merupakan ekspedisi ketiga yang dilaksanakan selepas dua ekspedisi terdahulu masing-masing ke Bario dan kawasan pedalaman Belaga.
Jelasnya, ekspedisi kali ini memberi tumpuan kepada laluan Ulu Skrang, Ulu Entabai dan Ulu Kota bagi mengenal pasti keadaan serta keperluan sebenar infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kita mahu mengenal pasti jalan-jalan bekas balak yang boleh menyambungkan tempat-tempat yang belum dihubungi dengan jalan yang sempurna, yang sebelum ini hanya mempunyai jalan batu dan trek,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu ketika ini.
Beliau berkata, masyarakat perlu mengelakkan pembakaran terbuka yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang selain menjaga kesihatan dan sentiasa memantau laporan kualiti udara semasa.
“Mereka yang menghidap penyakit asma juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di luar.
“Bantuan air akan disasarkan kepada takungan air sedia ada dan pasukan akan mengeluarkan sijil serta membekalkan air sekiranya diperlukan.
“Orang ramai turut diminta melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak polis, manakala penghuni rumah panjang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya,” tambahnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidil Lariwoo, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, ADUN Engkelili, Dr. Johnical Rayong Ngipa dan tetamu lain.-EDISI UKAS