Wanita HIKMAH Disaran Perkukuh Kerjasama Perkasa Wanita Sarawak
KUCHING: Wanita Harakah Islamiah (HIKMAH) disaran memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan bagi memperluas usaha memperkasa wanita di seluruh Sarawak dalam aspek kebajikan, ekonomi dan pendidikan.
Pengerusi Wanita HIKMAH Toh Puan Hayati Ahmat berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyambut baik pelbagai aktiviti yang dilaksanakan pertubuhan itu serta menyarankan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak terus diperkasa.
“Premier Sarawak menyambut baik pelbagai aktiviti Wanita HIKMAH dan menyarankan agar jalinan kerjasama dengan NGO serta jabatan kerajaan diperkukuh bagi memperkasa wanita di seluruh Sarawak dalam aspek kebajikan, ekonomi dan pendidikan,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, pada Jumaat.
Menurut Toh Puan Hayati, sokongan berkenaan penting memandangkan Wanita HIKMAH mempunyai jangkauan program di seluruh Sarawak merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau menambah, Wanita HIKMAH kini mempunyai 12 cawangan dan mengendalikan 23 majlis taklim yang melibatkan wanita dalam komuniti, selain melaksanakan pelbagai program mengikut tiga zon iaitu selatan, tengah dan utara.
Katanya, antara fokus utama pertubuhan itu ialah melahirkan pemimpin wanita daripada akar umbi, memperkasa kesukarelawanan serta mengukuhkan institusi keluarga menerusi program keibubapaan dan ilmu kekeluargaan.
Usaha turut diperluas kepada masyarakat pedalaman melalui aktiviti ziarah golongan sakit dan keluarga kurang berkemampuan, selain program dakwah dan kebajikan secara holistik.
Dalam aspek ekonomi, Toh Puan Hayati berkata Wanita HIKMAH turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, daya usaha dan daya saing wanita bagi membantu mereka memperkukuh taraf kehidupan serta meneroka peluang ekonomi yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan yang diberikan dalam membantu Wanita HIKMAH meneruskan program, aktiviti dan agenda pembangunan wanita di seluruh negeri.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi I Wanita HIKMAH Dr Fatimah Bujang dan Penasihat Wanita HIKMAH Profesor Dr Dayang Afizah Awang. -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Ezzah Syafiqah
Foto : Hazrin Sunaini