Teknologi Dron Berpotensi Perkukuh Sektor Pengangkutan Dan Logistik Sarawak
MIRI: Teknologi dron berpotensi memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor pengangkutan dan logistik Sarawak, khususnya bagi meningkatkan akses penghantaran barangan serta perkhidmatan ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan ekonomi altitud rendah atau Low Altitude Economy (LAE), termasuk penggunaan dron dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), merupakan antara bidang yang sedang diterokai bagi membuka peluang baharu dalam sektor berkenaan.
Menurut beliau, teknologi dron bukan lagi terhad kepada aktiviti rekreasi dan fotografi udara, sebaliknya semakin digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perubatan, pemetaan, pemeriksaan infrastruktur, pemantauan kawasan serta operasi mencari dan menyelamat.
“Bagi penghantaran tertentu, teknologi ini berpotensi menjimatkan masa perjalanan dan memudahkan urusan logistik, khususnya di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat atau sungai.
“Walau bagaimanapun, pelbagai aspek perlu dikaji sebelum teknologi ini dapat digunakan secara lebih meluas, termasuk keselamatan penerbangan, peraturan penggunaan ruang udara, jarak penerbangan, kemampuan membawa muatan serta kos operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Drone Racing Challenge 2026 anjuran Kolej Vokasional Miri di sebuah pusat beli belah, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya teknologi itu juga berpotensi dimanfaatkan bagi penghantaran ubat-ubatan, bekalan perubatan, sampel makmal dan barangan penting ke kawasan pedalaman seperti Long Banga, Long Seridan, Bario dan Ba'kelalan, tertakluk kepada kesesuaian operasi, jarak penerbangan, kapasiti muatan serta keadaan cuaca.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memberitahu, penganjuran pertandingan itu merupakan platform penting untuk memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai teknologi dron, selain membina kemahiran teknikal melalui pengalaman praktikal.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menggalakkan pelajar supaya melihat teknologi dron bukan sekadar sebagai hobi atau pertandingan, sebaliknya meneroka potensi bidang berkenaan melalui pembelajaran dalam elektronik, pengaturcaraan, robotik dan kejuruteraan.
"Perkembangan industri UAV berpotensi mewujudkan peluang kerjaya dalam bidang pengendalian dan penyelenggaraan dron, pembangunan perisian, analisis data, kejuruteraan serta perkhidmatan logistik," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk Kolej Vokasional Miri, untuk terus menyediakan pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi baharu serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri.
Jelasnya, usaha itu penting bagi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran praktikal yang bersesuaian dengan keperluan industri, sekali gus menyediakan tenaga kerja tempatan yang mampu merebut peluang dalam bidang teknologi yang semakin berkembang. -EDISI UKAS