Hari Keluarga GTR N.36 Layar Perkukuh Silaturahim, Promosi Pelancongan Tempatan
BETONG: Program Hari Keluarga Gerempung Tuai Rumah (GTR) N.36 Layar menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan tuai rumah dan ahli keluarga, di samping mempromosikan potensi pelancongan tempatan di kawasan Layar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kawasan Layar mempunyai potensi pelancongan yang boleh dibangunkan secara terancang bagi menarik lebih ramai pelancong, khususnya dari luar Betong dan Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Keluarga Gerempung Tuai Rumah N.36 Layar di Tapak Perkhemahan Rumah Panjang Nanga Mujau, Spak, Betong pada Sabtu.
Menurut beliau, masyarakat rumah panjang digalakkan memanfaatkan sumber dan keunikan yang terdapat di kawasan masing-masing sebagai tarikan pelancongan, termasuk aktiviti berasaskan sungai yang mampu menjana pendapatan serta merancakkan ekonomi tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti seperti Hari Keluarga amat penting dalam mengeratkan hubungan masyarakat, selain menjadi ruang kepada golongan muda untuk membina hubungan, menimba pengalaman dan memupuk semangat kebersamaan sebagai bakal pemimpin masa depan.
Beliau turut mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan orang lain sepanjang aktiviti perkhemahan yang berlangsung selama dua hari itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak GTR N.36 Layar atas kejayaan menganjurkan program berkenaan dan berharap penyertaan pada masa akan datang dapat dipertingkatkan agar Hari Keluarga itu menjadi acara tahunan gerempung berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi GTR N.36 Layar, TR Gebriel Spencer Sang berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan sesama tuai rumah di kawasan Layar bersama ahli keluarga masing-masing, selain menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan maklumat, khususnya berkaitan pentadbiran di peringkat akar umbi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TR Jarit Tadong selaku pengerusi jawatankuasa program bersama ahli jawatankuasa lain atas usaha menjayakan program berkenaan meskipun berdepan perubahan tarikh pelaksanaan.
Program anjuran GTR N.36 Layar itu berlangsung selama dua hari dari 24 sehingga 25 Oktober 2026, dengan penyertaan kira-kira 120 peserta yang terdiri daripada para tuai rumah bersama ahli keluarga.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Penasihat GTR N.36 Layar Christina Peter, Pengerusi Jawatankuasa Program Hari Keluarga GTR N.36 Layar TR Jarit Tadong serta Tuai Rumah Panjang Nanga Mujau, TR Isup Iba.-EDISI UKAS