BAU: Latar belakang keluarga dan kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak luar bandar untuk mencapai kejayaan, sebaliknya pendidikan perlu dijadikan landasan utama bagi mengubah nasib diri serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pendidikan bukan sekadar membuka peluang pekerjaan yang lebih baik, malah berperanan penting dalam memutuskan kitaran kemiskinan dan melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.
Menurut beliau, setiap pelajar perlu mempunyai keazaman, disiplin dan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan tanpa menjadikan keadaan sosioekonomi keluarga sebagai alasan untuk berputus asa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Motivasi Pendidikan Kampung Opar 2026 di Kampung Opar, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Opar itu melibatkan pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima serta dihadiri kira-kira 150 orang.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Billy mengingatkan pelajar Tingkatan Lima supaya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran kerana keputusan peperiksaan itu menjadi antara penentu hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan seseorang pelajar bukan hanya bergantung kepada usaha sendiri, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru dan komuniti setempat.
Katanya, perhatian, dorongan moral dan bimbingan keluarga amat penting dalam membantu anak-anak menghadapi tekanan pembelajaran, khususnya menjelang peperiksaan utama.
Dalam pada itu, Billy menggalakkan pelajar meneruskan pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat diploma bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan.
Beliau turut menyarankan generasi muda meneroka bidang teknikal dan kejuruteraan, termasuk Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik yang mempunyai prospek kerjaya serta peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan pelajar supaya memanfaatkan kemudahan pembiayaan pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sarawak, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Program, Nyolen Abun berkata, program motivasi berkenaan bertujuan menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik, selain meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan membimbing anak-anak sepanjang tempoh persekolahan.
Penganjuran program itu turut mencerminkan komitmen masyarakat Kampung Opar dalam memperkukuh budaya ilmu dan memastikan generasi muda mendapat dorongan untuk membina masa depan yang lebih baik.
Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Opar, Dewen anak Giam, Pengerusi Pengelola Program, Nyolen anak Abun, penceramah jemputan, Ahmad Faizal Osman atau dikenali sebagai Cikgu Emmet, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), ibu bapa serta para pelajar.-EDISI UKAS