Sound of Borneo 2026 Semarakkan Pentas Kesenian Sarawak Regatta
KUCHING: Keunikan muzik tradisional dan kepelbagaian warisan budaya Borneo menjadi tarikan utama program Sound of Borneo 2026 yang menyemarakkan Pentas Kesenian Sarawak Regatta 2026 di Kuching Waterfront di sini pada Sabtu.
Program yang menghimpunkan barisan artis dan pemuzik tempatan itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform mengetengahkan kekayaan seni muzik serta identiti budaya Sarawak kepada masyarakat dan pelancong.
Antara artis yang menjayakan persembahan ialah Jerry Kamit, Fauziah Gambus, Razali Kulingtangan dan Suk Bini’e, selain Orkestra Tradisional Negeri Sarawak (TONS).
Persembahan pembukaan oleh TONS membuka tirai acara sebelum diteruskan dengan rangkaian persembahan muzik secara langsung dan instrumental yang memperlihatkan keunikan alat muzik serta irama tradisional Borneo.
Suasana turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif bersama penonton yang menawarkan lima hamper bagi setiap sesi, sekali gus menggalakkan penglibatan pengunjung sepanjang program berlangsung.
TONS turut mempersembahkan medley Ritma Sarawak sebelum acara mencapai kemuncaknya menerusi persembahan finale yang menghimpunkan semua artis di atas satu pentas.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, dan diakhiri dengan sesi bergambar bersama barisan artis serta tetamu kehormat.
Penganjuran Sound of Borneo 2026 sebagai sebahagian daripada Pentas Kesenian Sarawak Regatta 2026 mencerminkan usaha berterusan mengetengahkan warisan seni dan budaya tempatan, di samping memperkukuh daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan kebudayaan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dr Suffian Jalet, Ahli Lembaga Pengarah MSS, Dr Kamil Salem, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak( Operasi), Awang Ikman Awang Sepian,Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS( Kesenian dan Kebudayaan), Easter Melebeh, Pegawai Tadbir Mewakili Residen Bahagian Kuching, Siti Rohaya Wahet.-EDISI UKAS