Kejayaan PCDS 2030 Diukur Melalui Perubahan Kualiti Hidup Rakyat
LUNDU: Kejayaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bukan sekadar diukur melalui jumlah projek atau program yang dilaksanakan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana pembangunan itu membawa perubahan nyata kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, setiap dasar dan perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih yang stabil, jaringan jalan raya berkualiti, bekalan elektrik, liputan telekomunikasi, kemudahan pendidikan dan perumahan selesa perlu terus menjadi keutamaan, khususnya di kawasan Lundu, Sematan hingga ke Sampadi.
“Ukuran sebenar kejayaan kita bukan pada berapa banyak program yang kita laksanakan, tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat dan kualiti kehidupan mereka bertambah baik.
“Inilah tanggungjawab bersama kita dalam memastikan aspirasi PCDS 2030 diterjemahkan kepada pembangunan yang inklusif dan mampan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Kerajaan Sarawak sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak (POLSEC Outreach Programme) Peringkat DUN Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Lundu, pada Sabtu.
Program anjuran Pejabat Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu itu menghimpunkan kira-kira 350 peserta.
Dalam pada itu, Azizul Annuar menegaskan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemimpin setempat perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai penghubung antara rakyat dengan agensi kerajaan.
Katanya, pemimpin akar umbi merupakan mata, telinga dan suara masyarakat dalam mengenal pasti isu serta keperluan pembangunan yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan.
Beliau turut menggesa setiap permasalahan disalurkan kepada agensi bertanggungjawab melalui saluran yang tepat bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Pada masa sama, beliau mahu maklumat mengenai pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan disampaikan secara menyeluruh supaya golongan yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan.
Sementara itu, program POLSEC Outreach menjadi platform penyampaian maklumat secara langsung kepada masyarakat mengenai hala tuju PCDS 2030, pembangunan infrastruktur serta pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan.
Antara agensi yang terlibat dalam sesi taklimat ialah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), SACOFA, Sarawak Water Sdn. Bhd. dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Peserta turut diberikan penerangan mengenai bantuan pendidikan Yayasan Sarawak, skim pembiayaan dan bantuan perumahan melalui Mutiara Mortgage & Credit serta Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), selain Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Penganjuran program itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi pelaksana, pemimpin komuniti dan masyarakat dalam memastikan aspirasi PCDS 2030 diterjemahkan kepada pembangunan yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengarah Program POLSEC Outreach, Abdul Samat Gany, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup, Faridah Osman, Dr. Dayang Nurfizawati Abang Abd Karim, John Nyigor, Pandang Semat, Kho Teck Wan, Sam Aya dan Niponi Undek serta Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS