Jalan Alternatif Kampung Krusen Kranji Atasi Masalah Perhubungan
TEBEDU: Projek pembinaan jalan alternatif ke Kampung Krusen Kranji bernilai RM800,000 bakal menyediakan laluan keluar masuk baharu bagi penduduk susulan keruntuhan jalan utama kampung berkenaan pada awal tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, projek berkenaan penting bagi memastikan penduduk terus mempunyai akses perhubungan darat yang selamat dan lebih terjamin.
Menurut beliau, projek itu melibatkan pembinaan jalan alternatif berturap sepanjang 200 meter dengan lebar enam meter, selain tiga culvert serta struktur gabion bagi membantu mengukuhkan kawasan tertentu dan mengawal hakisan.
“Penyediaan jalan alternatif ini amat diperlukan bagi menjamin kelangsungan perhubungan darat penduduk kampung serta memudahkan pergerakan harian termasuk urusan ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan asas,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Jalan Alternatif Kampung Krusen Kranji, di sini, pada Jumaat.
Dr Simon berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti ditetapkan bagi memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian selaku agensi pelaksana dan pemantau projek memaklumkan tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh bulan bermula 12 Ogos 2026 dan dijangka siap pada 11 Mac 2027. -EDISI UKAS