Pembangunan Belia Penting Lahirkan Pelapis Kepimpinan Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan belia perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan Sarawak memiliki barisan pelapis yang mampu meneruskan kepimpinan serta membawa negeri ke tahap lebih tinggi pada masa depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan perlu memberikan golongan belia ruang, kepercayaan dan peluang untuk menjadi rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Kerana kita tahu, barisan kepimpinan sekarang baiknya di peringkat atasan mahupun di peringkat bahagian, kita tidak akan berada di sini selama-lamanya. Kita memerlukan kesinambungan.
“Kita perlukan pelapis yang boleh mewarisi, menjaga dan membawa Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Belia Sarawak 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, pendekatan pembangunan belia di Sarawak kini turut memberi penekanan kepada penyertaan aktif golongan muda dalam merancang dan melaksanakan program, termasuk sebagai fasilitator, usahawan muda, pengamal industri dan sukarelawan.
Dalam hal ini jelasnya, Minggu Belia Sarawak 2026 menyediakan pelbagai pengisian termasuk Youth Champion, Youth Expo, Youth Active dan Youth Marketplace yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, kebolehpasaran, keusahawanan, kreativiti, inovasi dan penglibatan komuniti.
Melalui program berkenaan, belia turut mendapat pendedahan kepada peluang kerjaya, laluan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti sukan, kesukarelawanan serta pelbagai bengkel kemahiran dan kreativiti.
Sementara itu, Minggu Belia Sarawak 2026 turut melakar pencapaian menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi himpunan komuniti Pre-Loved terbesar.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan belia mencipta kejayaan apabila diberikan peluang, kepercayaan dan sokongan, selain menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani mencuba, berinovasi serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
Ujarnya lagi, Anugerah Belia Sarawak yang disempurnakan oleh Premier Sarawak turut menjadi antara bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap individu dan pertubuhan yang menyerlah dalam bidang kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti, inovasi serta khidmat kepada masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, ketua-ketua jabatan serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS