MIRI: Usaha membendung penularan rabies di Miri terus diperkasa menerusi peningkatan liputan vaksinasi dan pemasangan mikrocip bagi anjing, khususnya melalui perkhidmatan unit veterinar bergerak yang dibawa terus kepada komuniti.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai pemilik anjing mendapatkan vaksinasi rabies dan pemasangan mikrocip untuk haiwan peliharaan mereka.
Menurutnya, program unit veterinar bergerak yang dilaksanakan dua kali seminggu pada hujung minggu itu kini memasuki siri ketiga bagi bulan ini, dengan sebanyak 2,663 ekor anjing telah divaksin dan dipasang mikrocip setakat pagi ini.
“Pendekatan ini telah meningkatkan akses dan kemudahan kepada pemilik haiwan peliharaan di seluruh Miri, sekali gus memastikan lebih banyak anjing menerima vaksinasi rabies dan mikrocip,” katanya ketika ditemui media pada Program Vaksinasi Rabies di kawasan parkir Nam Leong Supermarket, Desa Senadin pada Sabtu.
Beliau berkata, penyediaan perkhidmatan lebih dekat dengan komuniti dapat menggalakkan pemilik anjing tampil mendapatkan vaksinasi serta memastikan haiwan peliharaan mereka dikenal pasti melalui pemasangan mikrocip.
“Semakin tinggi liputan vaksinasi, semakin kukuh perlindungan kita terhadap rabies. Kita mesti terus mempergiatkan usaha untuk menjadikan Miri sebuah bandar raya bebas rabies,” katanya.
Program berkenaan akan diteruskan pada 22 dan 23 Ogos dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Taman Awam Miri.
Pemilik anjing digalakkan membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan vaksinasi rabies dan pemasangan mikrocip secara percuma, sekali gus membantu melindungi komuniti daripada ancaman penyakit berkenaan. - EDISI UKAS