Sinergi Agensi, Institusi Pendidikan Perkukuh Agenda Pendidikan Simunjan
SIMUNJAN: Sinergi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan bakat serta kecemerlangan pendidikan di daerah Simunjan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh berkata, usaha memperkasakan sektor pendidikan itu selaras dengan visi “Sarawak Maju Makmur” serta misi “Menjulang Pendidikan Negeri Sarawak”.
Menurutnya, penganjuran Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak menjadi platform penting dalam memberi pendedahan kepada murid dan masyarakat setempat mengenai pelbagai peluang pendidikan yang tersedia.
“Terima kasih kepada pihak kementerian dan Yayasan Sarawak kerana memberikan keputusan segera dan sokongan padu, walaupun dalam tempoh perancangan yang singkat, demi memastikan komuniti di Simunjan mendapat manfaat sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Dewan Mesra Simunjan, di sini, pada Sabtu.
Menurut Hasbi, penglibatan pelbagai pihak termasuk barisan kepimpinan sekolah daripada SMK Simunjan No. 1 dan SMK Sebuyau, Persatuan Gabungan Guru Besar Malaysia (PGBM) serta agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi dalam memperkasa pendidikan di peringkat akar umbi.
Ekspo tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran daripada sekolah-sekolah sekitar daerah Simunjan yang mengetengahkan pencapaian, kreativiti dan inovasi murid.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada murid mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan dan peluang pengajian tinggi, malah menjadi wadah memperkukuh pembangunan bakat secara menyeluruh di daerah Simunjan. -EDISI UKAS