Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak Perkasa Aspirasi Pendidikan Belia Simunjan
SIMUNJAN: Pendidikan terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan peluang pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Sharifah Fariah Syed Junaidi berkata, penganjuran Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam membantu pelajar merealisasikan impian pendidikan mereka.
Menurutnya, kehadiran pelbagai institusi pendidikan tinggi serta kaunter permohonan yang disediakan pada ekspo berkenaan membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak menyediakan platform pendidikan yang inklusif dan mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda.
“Apa yang kita lihat di sekeliling dewan ini pada hari ini bukan sekadar pameran universiti, kursus atau kaunter permohonan. Ia adalah satu janji daripada Kerajaan Sarawak kepada setiap pelajar.
“Latar belakang kewangan keluarga tidak akan sesekali menjadi penghalang untuk mencapai impian pendidikan anda,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Dalam pada itu, program berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Cemerlang SPM 2025 kepada 10 penerima melibatkan empat sekolah, iaitu SMK Simunjan No. 1, SMK Sri Sadong, SMK Sebuyau dan SMK Gedong.
Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Cemerlang STPM 2025 yang melibatkan tujuh penerima, kesemuanya dari SMK Simunjan No. 1.
Ekspo tersebut turut memberi peluang kepada pelajar Tingkatan Lima mendapatkan maklumat secara terus berkaitan pilihan pengajian, institusi pendidikan tinggi, kursus serta bantuan dan pembiayaan pendidikan yang tersedia.
Program berkenaan dihadiri pelajar Tingkatan Lima bersama ibu bapa dari beberapa sekolah termasuk SMK Simunjan No. 1, SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau. -EDISI UKAS