Demonstrasi Masakan Tingkat Kemahiran, Teroka Potensi Keusahawanan
SEBUYAU: Program Pemerkasaan Komuniti Wanita melalui aktiviti demonstrasi masakan menjadi platform bagi golongan wanita setempat meningkatkan kemahiran dalam bidang masakan serta meneroka potensi keusahawanan berasaskan makanan.
Program anjuran Jawatankuasa Wanita Cawangan PBB N.27 Sebuyau bersama PIBG SK Seruyuk itu menghimpunkan kira-kira 50 peserta di Dewan RMT SK Seruyuk, Kampung Seruyuk, di sini, pada Sabtu.
Demonstrasi yang dikendalikan tenaga pengajar memberi peluang kepada peserta mempelajari secara langsung teknik penyediaan bahan, kaedah memasak, penyediaan hidangan serta aspek kebersihan dan kekemasan makanan.
Program berkenaan juga menjadi platform untuk menggalakkan wanita berkongsi pengalaman, bertukar pengetahuan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
Turut diadakan taklimat ringkas berkenaan bantuan Kerajaan Sarawak dalam bidang kebajikan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan pembangunan masyarakat. -EDISI UKAS