KCFC Tampil Jersi Baharu, Aura 'Ngap Sayot' Kembali
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) menampilkan jersi baharu bagi menempuh persaingan musim baharu 2026/2027 yang berlangsung di Plaza Merdeka, di sini, pada Ahad.
Jersi baharu menampilkan tiga set baju baharu yang diketengahkan dengan baju utama masih mengekalkan warna yang sama iaitu putih hijau dengan kelainan corak yang unik pada kali ini berbanding musim lepas.
Menarik perhatian adalah jersi kedua yang membawa kembali aura 'Ngap Sayot' semasa zaman Sarawak FA dahulu dengan corak dan warna semasa yang hampir sama.
Pengerusi Eksekutif KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, jersi kedua mengambil inspirasi daripada pasukan Ngap Sayot di mana mereka menggunakan warna merah hitam dan corak yang mengambil juga inspirasi daripada pasukan Ngap Sayot dulu.
"Kita berharap semangat Ngap Sayot itu dapat meresap dalam player Kuching City FC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi baharu tersebut.
Selain itu, jersi ketiga pula membawa warna oren yang menampilkan warna berbeza untuk persaingan kali ini.
Mengulas lanjut mengenai jersi baharu, Dato Fazzrudin memberitahu, jersi utama tersebut sudah boleh dibeli dengan harga RM149 dengan hasil jualan jersi akan digunakan untuk terus mengurus dan membangunkan pasukan KCFC.
Justeru, beliau amat menghargai para penyokong pasukan The Cats yang terus menyokong pasukan KCFC terutamanya berhadapan musim yang amat membanggakan serta mencabarkan.
Jersi-jersi bakal mewarnai pemain-pemain KCFC bagi saingan Liga Super 2026/2027, Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026/2027 dan AFC Champions League Two 2026/2027 sekali gus membawa Kuching City FC bersaing dengan kelab-kelab terkemuka dari seluruh Asia Tenggara dan rantau Asia yang lebih luas.
Dalam pada itu, Dato Fazzrudin turut menghargai AFFIN Group dan AirBorneo sebagai penaja utama untuk musim kali ini yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak, malah membuka ruang lebih luas dalam usaha memperkasa komuniti serta mempromosikan jenama Sarawak di peringkat serantau.
Menurutnya, AFFIN melihat KCFC sebagai salah satu platform untuk mendekati masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan komuniti khususnya menerusi bidang sukan dan bola sepak.
Manakala katanya, penglibatan AirBorneo pula memberi peluang kepada syarikat penerbangan berkenaan memanfaatkan penampilan KCFC di pentas Asia dan ASEAN bagi memperluaskan promosi jenamanya.
Ditanya sama ada AirBorneo bakal jadi pengangkutan utama KCFC bagi perlawanan tempat lawan, beliau menjelaskan, syarikat tersebut akan diberi keutamaan sekiranya laluan tersebut mempunyai perkhidmatan syarikat penerbangan berkenaan termasuk di kawasan Asia dan ASEAN.
“Di peringkat ASEAN, kita mengharapkan laluan yang tersedia seperti kita pernah mendengar pengumuman bahawa mereka akan membuka laluan ke Jakarta.
“Maka kita mengharapkan sekiranya kita bermain di Indonesia, kita akan menggunakan laluan tersebut.
“Kita memberi keutamaan kepada AirBorneo sepanjang perjalanan,” jelas beliau. -EDISI UKAS