Futsal, Tarik Tali Serlah Semangat Kesukanan Belia Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Semangat kesukanan dan penyertaan aktif golongan belia terus menyerlah pada kemuncak Minggu Belia Sarawak 2026 menerusi kejohanan futsal dan pertandingan tarik tali di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Kejohanan futsal itu menyaksikan 48 pasukan berentap dalam lima pusingan, dengan pasukan AZH All Star muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Pasukan OG FT meraih naib juara dengan hadiah RM2,000, manakala pasukan XMT FT dan pasukan Kamela FT berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM1,000.
Pemain pasukan AZH All Star, Muhammad Haddad Aiman Awang Suffian dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, manakala penjaga gol pasukan Kamela FT, Mohamad Danish Zahirie Jumat dipilih sebagai Goleiro Terbaik.
Pasukan Skanza Boy FT pula menerima Anugerah Khas Pasukan Terbaik atas persembahan konsisten dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.
Pertandingan tarik tali turut mendapat sambutan dengan penyertaan 15 pasukan yang dibahagikan kepada Kategori Terbuka dan Kategori Penjawat Awam.
Bagi Kategori Penjawat Awam, pasukan UNIMAS muncul juara, diikuti pasukan PDRM GHPS sebagai naib juara, manakala pasukan Brother’s APM dan pasukan R & DO Samarahan masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Kategori Terbuka pula menyaksikan pasukan Trass Merah muncul juara, diikuti pasukan Firefly di tempat kedua, pasukan X Jerak di tempat ketiga dan pasukan B.K.B. di tempat keempat.
Selain itu, pertandingan Carrom dan E-sports turut melengkapkan pengisian kemuncak Minggu Belia Sarawak 2026.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat.
Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Seroji Ludin serta Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (Samarahan FA), Mohd Azri Johari. -EDISI UKAS