Bangunan Baharu Gereja St. Leonard Kampung Atas Dibuka Rasmi
BAU: Pembukaan rasmi bangunan baharu Gereja St. Leonard yang disempurnakan oleh Uskup Agung Katolik Kuching Dato Dr Simon Poh pada Ahad, selepas bangunan baharu itu siap sepenuhnya pada September 2025 susulan kira-kira empat tahun pembinaan, menandakan satu detik bermakna buat komuniti Kristian di Kampung Atas, Bau.
Acara tersebut turut disusuli upacara pemberkatan dan sembahyang misa yang diketuai Dato Dr Simon bersama Rektor Parish St. Stephen Bau Peter Liston.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Presiden Persatuan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) Datuk Peter Nansian Ngusie serta Pengerusi KGK Gereja St. Leonard Atas Bau Fidelis Colgeon Albert Ahin.
Pembinaan gereja baharu itu dicetuskan pada 2016 bagi menggantikan bangunan sedia ada, sebelum kertas kerja pertama projek disediakan pada 2019.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek berdepan beberapa cabaran termasuk pandemik COVID-19 pada 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekangan dana yang menyebabkan kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan.
Bagi mendapatkan sumber pembiayaan, pihak jawatankuasa menyediakan pelan seni bina untuk dikemukakan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), sebelum permohonan tersebut diluluskan pada Ogos 2020 dengan peruntukan RM100,000.
Peruntukan berkenaan menjadi antara sumber awal bagi memulakan pembinaan, manakala permohonan geran tambahan kepada UNIFOR diteruskan sepanjang tempoh pembinaan dari 2021 hingga 2025.
Selain UNIFOR, projek tersebut turut menerima sokongan kerajaan menerusi peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melalui Majlis Daerah Bau serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam usaha menampung keperluan kewangan projek, Jawatankuasa Kutipan Dana turut ditubuhkan bagi menggerakkan sumbangan daripada keluarga Kristian berdaftar, komuniti setempat, entiti perniagaan, syarikat korporat serta tokoh dan pengusaha tempatan.
Kerjasama dan sokongan pelbagai pihak akhirnya membolehkan bangunan utama gereja disiapkan pada September 2025, sekali gus menjadi pencapaian penting kepada warga Gereja St. Leonard Kampung Atas dan komuniti setempat. -EDISI UKAS