Naik Taraf Stadium Taha Ariffin Dilaksana Secara Beperingkat
KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan Kuching City FC (KCFC) masih dapat menggunakan stadium berkenaan sebagai gelanggang tuan rumah.
Pengerusi Eksekutif KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi pembangunan stadium tersebut namun pelaksanaan keseluruhan kerja secara serentak berkemungkinan menyebabkan stadium tidak dapat digunakan selama sembilan hingga 10 bulan.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan KCFC untuk mendapatkan gelanggang sendiri, terutama ketika pasukan bakal menghadapi saingan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Jadi, yang penting setakat ini padang kita telah dibaik pulih. Semalam apabila hujan lebat, selepas hujan berhenti, dalam tempoh lima hingga lapan minit sahaja air sudah surut.
“Kita amat bersyukur dengan penambahbaikan padang ini kerana sudah tentu padang merupakan antara perkara paling penting. Selain itu, terdapat juga kerja-kerja lain yang dilaksanakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penonton.
“Itu antara kerja-kerja awal yang telah dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu KCFC Bagi Persaingan Musim 2026/2027 di Plaza Merdeka di sini pada Ahad.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Stadium Sarawak dijadikan gelanggang alternatif, tertakluk kepada perbincangan antara KCFC dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Bagaimanapun jelasnya, KCFC tetap mengutamakan Stadium Taha Ariffin sebagai gelanggang sendiri bagi mengekalkan suasana serta sokongan penyokong Ngap Sayot yang menjadi antara kekuatan utama pasukan. -EDISI UKAS