KCFC Bakal Umum Penjaga Gol Baharu Untuk Lengkapkan Skuad
KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) kini hampir lengkap bagi menghadapi saingan musim akan datang dengan seorang lagi penjaga gol tempatan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi Eksekutif KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman memberitahu, pemain berkenaan merupakan pemain tempatan Malaysia dan akan melengkapkan pilihan di posisi penjaga gol bagi memperkukuh skuad tersebut.
“Ada seorang lagi yang akan datang, iaitu penjaga gol yang akan kita umumkan tidak lama lagi dan beliau merupakan pemain tempatan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu KCFC Bagi Persaingan Musim 2026/2027 di Plaza Merdeka di sini pada Ahad.
Tambahnya, KCFC masih belum menggunakan sepenuhnya kuota pemain import yang diperuntukkan, namun setakat ini tidak mempunyai perancangan untuk membawa masuk pemain baharu.
Ditanya mengenai kemungkinan penambahan pemain pada jendela perpindahan pertengahan musim, Dato Fazzrudin memberitahu, perkara itu bergantung kepada keperluan pasukan serta penilaian Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak.
“Kalau jurulatih melihat ada keperluan, beliau akan berbincang dengan kami dan kita akan membuat keputusan kerana kita menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk mengenal pasti pemain-pemain.
“Kami hanya memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan,” ujarnya.
Mengulas sama ada pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dibenarkan beraksi menentang kelab induk, Dato Fazzrudin menjelaskan, pemain tersebut dibenarkan beraksi kerana tiada klausa yang menghalangnya berbuat demikian.
KCFC bakal menentang JDT untuk merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos kelak sekali gus membuka tirai saingan musim baharu Liga Malaysia. -EDISI UKAS