BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta menerusi Program Connecting Jepak bagi memperluas akses internet berasaskan satelit kepada 74 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak melibatkan hampir 11,000 penduduk.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak memperluas liputan internet dan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar.
Menurutnya, pemasangan kemudahan Starlink oleh Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengakses pendidikan dalam talian serta menyertai ekonomi digital.
“Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama dengan wakil rakyat dan warga Jepak untuk meraikan kejayaan Kerajaan Sarawak, khususnya peruntukan sebanyak RM5 juta yang diluluskan oleh Premier Sarawak bagi menghubungkan penduduk Jepak dengan dunia luar melalui Program Connecting Jepak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Connecting Jepak di Promenade Hotel Bintulu pada Sabtu.
Berdasarkan tinjauan di kawasan berkenaan, sebanyak 74 rumah panjang dikenal pasti memerlukan peningkatan capaian internet, dengan lapan daripadanya mempunyai kekuatan isyarat rendah dan kelajuan muat turun di bawah 35Mbps.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program itu dilaksanakan susulan maklum balas penduduk yang menghadapi kesukaran mendapatkan capaian internet stabil, termasuk pelajar dan peniaga kecil.
“Kemudahan jalur lebar berasaskan satelit ini juga penting untuk lokasi yang sukar dicapai rangkaian gentian optik atau infrastruktur telekomunikasi konvensional,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat meningkatkan kemahiran digital masyarakat, menyokong perkembangan usahawan serta memperluas penyertaan penduduk dalam ekonomi digital.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Ir Ts Tamida Da’adi, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Digital SDEC Ts Hamadlan Hamdan, Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Bintulu Shaiful Sandi dan tetamu lain. -EDISI UKAS