Sarawak Tetapkan Tempoh 12 Jam Tangani Gangguan Bekalan Air
KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan tempoh maksimum 12 jam untuk tindakan respons dan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas selepas menerima aduan bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin ketika berlaku gangguan bekalan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) di seluruh Sarawak telah diarahkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan yang berdepan gangguan bekalan air dan mengambil tindakan segera.
“Kita menetapkan KPI di mana maklum balas dan penghantaran air mesti dilakukan dalam tempoh maksimum 12 jam selepas aduan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Iban Women Charitable Trust (IWCT) 2025/2026 di Riverside Majestic Hotel, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada menetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membekalkan air minuman ke kawasan yang memerlukan, terutama apabila berlaku gangguan bekalan.
Menurutnya, penggunaan lori tangki Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan agensi bekalan air berkaitan turut digalakkan kerana mempunyai kapasiti penghantaran yang lebih besar.
“Sekiranya boleh, kita mahu bekalan air dihantar menggunakan lori tangki kerana kapasiti penghantaran mereka lebih besar,” katanya.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, arahan berkenaan penting bagi memastikan setiap aduan berkaitan gangguan bekalan air mendapat tindakan segera tanpa menunggu keadaan menjadi lebih kritikal.
Dalam masa sama, JPBB turut diarahkan meningkatkan pemantauan di kawasan ‘hotspot’ yang berpotensi berlaku kebakaran, selaras dengan keadaan cuaca dan risiko semasa yang boleh menjejaskan bekalan air serta keselamatan komuniti. -EDISI UKAS