Skuad Berbasikal Lebuh Raya Sarawak Lakar Sejarah, Rangkul Emas Acara ITT
SEPANG: Skuad berbasikal Sarawak melakar sejarah tersendiri selepas berjaya merangkul pingat emas buat julung kalinya dalam perlumbaan Ujian Masa Individu (ITT) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Ia susulan kejayaan Afif Darwish menjuarai perlumbaan ITT Lelaki Akhir SUKMA XXII Selangor 2026 yang berlangsung di Lebuhraya SIC & SIC di sini petang tadi.
Beliau mencatat masa terpantas 37:12.633 saat untuk menewaskan pelumba Johor, Muhammad Nazirul Aniq dengan catatan 37:25.569.
Seorang lagi pelumba Sarawak, Muhammad Danial Hakim turut menaiki podium selepas meraih gangsa dengan catatan 37:39.644 saat.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Berbasikal Senator Datuk Ahmad Dato Sri Ibrahim yang dihubungi UKAS menyifatkan kejayaan bersejarah itu sebagai titik tolak kepada kebangkitan semula sukan berbasikal Sarawak dalam temasya SUKMA.
“Alhamdullillah hari ini kita mendapat satu emas dan satu gangsa dari acara Ujian Masa Individu based on timing. Sayangnya acara wanita kita tidak dapat.
“Jadi team berbasikal sudah ‘pecah telor’, sudah menang pingat. Harapan saya agar skuad berbasikal meneruskan momentum dalam acara lain selepas ini untuk menambah kutipan emas,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Sarawak memenangi emas dalam acara berbasikal pada SUKMA 2012 menerusi acara berbasikal bukit (MTB) lelaki dan wanita. - EDISI UKAS