M.O Sarawak Berpotensi Ketengah Bakat & Budaya Tempatan Ke Pentas Antarabangsa
MIRI: M.O Sarawak berpotensi diperluas ke peringkat antarabangsa bagi mengetengahkan bakat, kreativiti dan kekayaan budaya Sarawak kepada pasaran lebih luas, selari dengan perkembangan jaringan penerbangan yang menghubungkan negeri ini dengan destinasi luar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, platform M.O Sarawak yang telah dibangunkan sejak 16 tahun lalu mempunyai potensi untuk berkembang sebagai salah satu wadah promosi industri kreatif dan budaya Sarawak di peringkat serantau.
Menurut beliau, perkembangan jaringan penerbangan menerusi AirBorneo membuka peluang lebih luas untuk menarik pelancong, penggiat industri kreatif serta penyertaan antarabangsa ke Sarawak.
“Apabila kita menggabungkan kekuatan budaya, kreativiti, hospitaliti dan jaringan perhubungan, Sarawak mampu berdiri lebih kukuh sebagai sebuah destinasi unggul di rantau Asia,” katanya.
Beliau berucap pada Malam Gala M.O Sarawak di Hotel Pullman, di sini pada Sabtu.
Datuk Snowdan berkata, kekuatan warisan budaya Sarawak boleh diketengahkan menerusi pendekatan kreatif moden termasuk fesyen, seni persembahan dan kraftangan bagi membentuk identiti tersendiri yang mampu menarik perhatian pasaran luar.
Katanya, M.O Sarawak yang menggabungkan elemen fesyen, muzik, persembahan kebudayaan, peragaan dan rekaan mempunyai ruang untuk diperkasakan sebagai platform memperkenalkan Sarawak bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai negeri yang mempunyai bakat serta ekosistem industri kreatif tersendiri.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur supaya memperluas jaringan dan penglibatan antarabangsa dalam penganjuran M.O Sarawak pada masa akan datang.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat kreatif tempatan untuk membina jaringan dengan pemain industri luar serta memperkenalkan karya dan bakat Sarawak ke pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan berkata Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan industri kreatif termasuk melalui penyediaan dana kepada penggiat industri bagi meningkatkan kemahiran serta melahirkan lebih ramai bakat tempatan.
Sebagai sokongan terhadap penganjuran acara tersebut, kementeriannya memperuntukkan RM50,000, manakala beliau turut mengumumkan tambahan RM20,000 bagi memastikan kesinambungan M.O Sarawak.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bakat Dayak Sarikei merangkap Pengerusi Penganjur Bersama M.O Sarawak, Asat Nawin. -EDISI UKAS