Masyarakat Perlu Waspada Taktik Penipuan Semakin Canggih
KUCHING: Masyarakat perlu berwaspada terhadap taktik penipuan yang semakin canggih susulan penggunaan media sosial, laman sesawang palsu, aplikasi pesanan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh sindiket penipuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, kaedah penipuan kini semakin tersusun dan meyakinkan sehingga mangsa mudah terpedaya tanpa menyedari mereka sedang dimanipulasi.
“Scam bukan perkara baharu, tetapi kaedah yang digunakan penipu sentiasa berubah. Mereka kini lebih canggih, meyakinkan dan tersusun.
“Mereka tidak lagi bergantung kepada panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas semata-mata, sebaliknya menggunakan media sosial, laman sesawang palsu, aplikasi pesanan dan AI untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Anti Scam anjuran Sarawak Consumer Welfare Association (SCWA) di BEM The Way Sentosa, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, sindiket penipuan turut mengeksploitasi emosi mangsa dengan menimbulkan perasaan takut, terdesak, teruja atau simpati bagi mendorong mereka bertindak tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Sementara itu, Inspector Lim Chin Leong dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil memberi penerangan mengenai modus operandi sindiket termasuk bagaimana mangsa boleh diperdaya sehingga mengalami kerugian kewangan yang besar.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi bank masing-masing dan National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.
Program yang disertai lebih 100 peserta itu turut menyediakan bantuan pendaftaran kepada warga emas yang layak menerima manfaat di bawah Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
Turut hadir Setiausaha SCWA Jimmy Ling Yee Kung, Pegawai Bertugas (OC) Cecilia Kuek dan penceramah AI Winston Chang. -EDISI UKAS