MIRI: Masyarakat digalak mengamalkan gaya hidup lebih aktif bagi membantu menangani masalah ‘tiga tinggi’ iaitu tekanan darah tinggi, paras gula darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha menggalakkan masyarakat terus aktif amat penting berikutan semakin ramai berdepan masalah tersebut.
“Masalah ‘tiga tinggi’ perlu diberi perhatian serius kerana kegagalan mengawal keadaan tersebut dengan baik boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan.
“Sehubungan itu, saya menggalakkan masyarakat meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal secara konsisten dan tidak terlalu bergantung kepada gaya hidup pasif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program SUPP Riam Sub-Branch Joining Aerobic Exercise, Fun Run & Yoga Session di Taman Awam Miri, pada Ahad.
Katanya, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan juga boleh mengurangkan aktiviti fizikal selain menjejaskan komunikasi secara bersemuka antara ahli keluarga dan masyarakat.
Menurut Dato Sri Lee, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana hubungan sosial yang kukuh turut penting dalam membentuk komuniti yang sihat.
“Kita tidak mahu sampai satu tahap kita tidak mengenali jiran sendiri. Sebab itu, selain kesihatan tubuh badan, kita juga perlu membina sebuah masyarakat yang sihat dari segi hubungan sosial dan komuniti,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Taman Awam Miri sebagai antara kawasan rekreasi terbesar di bandar raya itu menyediakan ruang yang sesuai untuk masyarakat melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga dan komuniti.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak aktiviti kecergasan dan rekreasi dianjurkan secara berterusan termasuk senamrobik, larian, yoga, tai chi dan qigong bagi menarik lebih ramai penduduk keluar beriadah.
Katanya, pembangunan taman dan taman mini di kawasan perumahan juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk penduduk beriadah, membawa keluarga serta berinteraksi dengan jiran.
Beliau berharap masyarakat dapat bersama-sama meningkatkan tahap kesihatan dan mengamalkan gaya hidup lebih aktif, sekali gus mewujudkan komuniti yang lebih sihat serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat. -EDISI UKAS