Generasi Muda Sarawak Digesa Terokai Peluang Agrikomoditi
SARIKEI: Generasi muda Sarawak digesa meneroka peluang dalam sektor agrikomoditi yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penglibatan generasi baharu penting bagi memastikan sektor berkenaan terus berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dan pendapatan.
Menurutnya, sektor agrikomoditi kini tidak lagi terhad kepada kerja di kebun, sebaliknya turut menawarkan peluang dalam pengeluaran, penyelidikan, pemasaran digital, pembangunan produk dan keusahawanan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival AgriKomoditi MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Sentral Sarikei, pada Jumaat.
Dalam ucapan sama, Datuk Seri Dr Noraini menambah, penggunaan teknologi dan inovasi juga membolehkan kebun keluarga dibangunkan menjadi perusahaan moden sekiranya diurus dengan baik serta mempunyai akses kepada pasaran.
Sehubungan itu, golongan muda digesa memanfaatkan Karnival AgriKomoditi MADANI untuk mendapatkan maklumat berkaitan latihan, kemahiran dan peluang kerjaya dalam sektor berkenaan.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sarikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.-EDISI UKAS