LANDAS Diberi Kepercayaan Urus Sub-Jawatankuasa Sukan SEA 2027
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS) diberi kepercayaan untuk mengetuai beberapa sub-jawatankuasa termasuk penginapan dan pengangkutan sempena penganjuran Sukan SEA 2027 yang akan menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah bersama.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tanggungjawab tersebut turut merangkumi pengurusan pasukan dari Thailand, sekali gus menjadi amanah besar yang memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak.
“Inilah platform untuk kita melihat bagaimana kita boleh menguruskan sukan yang besar ini melibatkan negara-negara yang begitu banyak.
“Saya percaya dengan pengalaman anda, dengan komitmen yang begitu tinggi, kita akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Penutupan Sukan Karnival LANDAS (LASSCAR) 2026 di Pusat Konvensyen Penview, di sini, pada Sabtu.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan kerjasama antara jabatan dan agensi dalam memastikan setiap tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik.
Katanya, semangat kebersamaan dalam kalangan warga Jabatan Tanah dan Survei serta agensi berkaitan perlu terus diperkukuh bagi menghadapi tanggungjawab tersebut.
LASSCAR 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama lapan hari bermula 8 hingga 15 Ogos, dengan penyertaan seramai 1,463 atlet daripada pelbagai kontinjen LANDAS serta pasukan jemputan.
Keputusan keseluruhan kejohanan menyaksikan LANDAS Kuching muncul sebagai juara, diikuti LANDAS HQ sebagai naib juara, manakala LANDAS Limbang menduduki tempat ketiga.
Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan sepanjang karnival meliputi bola sepak lelaki, futsal wanita, bola jaring, pickleball, badminton berpasukan, ping pong berpasukan, petanque, karom berpasukan, dart berpasukan serta boling berpasukan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah LANDAS Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Zainal Abidin Abdullah serta dif-dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Nawawi Pawzi