RM200,000 Diperuntuk Bagi Pembangunan Tapak Baharu Rumah Panjang Remabong
ENGKILILI: Sebanyak RM200,000 diperuntuk menerusi Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembangunan tapak baharu Rumah Panjang Remabong.
Peruntukan tersebut diumumkan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi ketika Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Panjang Baharu Remabong di sini pada Sabtu.
Tapak baharu itu dirancang untuk menempatkan 70 pintu, sekali gus menyediakan kawasan penempatan yang lebih tersusun dan sesuai untuk kehidupan komuniti Rumah Remabong.
Peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan wakil rakyat terhadap keperluan asas masyarakat, khususnya dalam memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan komuniti dapat dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan setempat.
Majlis pecah tanah itu turut menjadi satu langkah penting ke arah merealisasikan hasrat penduduk Remabong untuk memiliki tapak rumah panjang baharu yang lebih selamat, selesa dan kondusif. -EDISI UKAS