Pelajar, Ibu Bapa Perlu Fahami Peluang Pendidikan Yang Tersedia
BAU: Pelajar dan ibu bapa perlu mengetahui serta memahami pelbagai peluang pendidikan yang tersedia bagi membolehkan mereka membuat pilihan tepat mengenai hala tuju pengajian selepas tamat persekolahan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata, pelbagai laluan kini tersedia termasuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memanfaatkan bantuan serta tajaan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Khususnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata Kerajaan Sarawak terus memperluaskan peluang pendidikan tinggi kepada anak Sarawak menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian.
“Namun begitu, peluang yang ada perlu diketahui dan difahami terlebih dahulu. Oleh itu, saya berharap ibu bapa dan anak-anak yang hadir pada hari ini dapat mengambil kesempatan untuk mendapatkan maklumat terus daripada institusi dan agensi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan negeri bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur, malah turut memerlukan generasi yang mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran serta keupayaan untuk mengisi peluang pekerjaan dan meneruskan agenda pembangunan Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Henry turut menekankan kepentingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta TVET dalam menyokong transformasi ekonomi Sarawak yang semakin berasaskan teknologi, digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hijau dan industri bernilai tinggi.
Ujarnya, TVET tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya merupakan salah satu laluan pendidikan dan kerjaya yang mempunyai prospek baik dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran. -EDISI UKAS