Sarawak Belia Samarahan Run Ride 2026 Tarik 2,000 Peserta
KOTA SAMARAHAN: Seramai 2,000 peserta memeriahkan Sarawak Belia Samarahan Run Ride sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) itu menarik penyertaan masyarakat dari Kuching, Samarahan dan Asajaya menerusi dua kategori terbuka iaitu larian lima kilometer (5km) dan kayuhan basikal 20 kilometer (20km).
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri MYSED Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada jam 6.50 pagi, sejurus selepas sesi senam aerobik yang bermula seawal jam 6 pagi.
Laluan larian bermula dan berakhir di Dewan Suarah Kota Samarahan, manakala peserta acara berbasikal menyusuri laluan sekitar daerah Samarahan.
Sambutan luar biasa itu mencerminkan minat tinggi golongan belia serta masyarakat setempat terhadap aktiviti sukan serta gaya hidup sihat, di samping menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti.
Selain acara Run Ride, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan, antaranya pertandingan dart, karom, slingshot, sukan elektronik (eSports), Youth Wall Climbing, tarik tali dan futsal.
Turut hadir menjayakan program tersebut ialah Ketua Bahagian Pembangunan Belia MYSED Seroji Ludin, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab. -EDISI UKAS