SUKMA XXII: Maritza, Joanna Raih Perak & Gangsa Lompat Jauh Wanita
SELANGOR: Dua atlet Sarawak, Maritza Ferrer Neil Armstrong dan Joanna Sangster menghadiahkan pingat perak dan gangsa buat Bumi Kenyalang menerusi acara lompat jauh wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Ahad.
Dalam aksi final di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Maritza mempamerkan aksi konsisten sebelum menghasilkan lompatan terbaik 5.74 meter pada percubaan kelima untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua.
Maritza memulakan saingan dengan percubaan batal sebelum mencatat 5.23 meter pada percubaan kedua dan 5.63 meter pada percubaan ketiga.
Beliau kemudian melakukan lompatan 5.17 meter pada percubaan keempat sebelum melonjak sejauh 5.74 meter pada percubaan kelima dan menutup saingan dengan catatan 5.68 meter.
Sementara itu, Joanna memastikan Sarawak turut menguasai podium apabila meraih pingat gangsa dengan lompatan terbaik 5.50 meter yang dilakukan pada percubaan keenam.
Joanna sebelum itu merekodkan 5.40 meter, 5.35 meter, 5.17 meter, 5.35 meter dan 5.37 meter dalam lima percubaan pertamanya.
Pingat emas menjadi milik wakil Kelantan, Alia Batrisy menerusi lompatan terbaik 5.88 meter.
Kejayaan Maritza dan Joanna menyaksikan Sarawak membawa pulang dua daripada tiga pingat yang dipertandingkan dalam acara berkenaan, sekali gus menambah koleksi pingat skuad olahraga Bumi Kenyalang pada temasya kali ini.-EDISI UKAS