BELAGA: Kebersihan persekitaran rumah panjang perlu menjadi tanggungjawab bersama masyarakat bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata amalan menjaga kebersihan perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya bergantung kepada program gotong-royong yang dianjurkan dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, persekitaran yang bersih dan terurus dapat membantu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit termasuk demam denggi dan malaria.
“Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam memastikan kawasan rumah dan persekitaran rumah panjang sentiasa bersih, teratur dan selamat,” katanya ketika merasmikan Program Gotong-Royong anjuran JKKK Uma Pako’, Long Dapui, Pesu di Uma Mering Madang, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut beliau berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong turut mencerminkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk serta kepimpinan komuniti.
Jelasnya, usaha tersebut perlu diteruskan sebagai amalan bersama bagi mewujudkan persekitaran rumah panjang yang lebih selesa dan kondusif.
Program yang disertai kira-kira 65 peserta itu turut mendapat sokongan beberapa ketua kaum dari kawasan Tubau.-EDISI UKAS