Program CSR Titiakar Perkukuh Hubungan Pemimpin & Rakyat
LUNDU: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2.0 Zon 5 Titiakar memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat menerusi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, di samping memupuk perpaduan masyarakat pelbagai etnik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, program berkenaan memberi ruang kepada pemimpin untuk turun padang, mendengar suara rakyat serta memahami keperluan masyarakat setempat secara langsung.
Menurutnya, aktiviti seperti gotong-royong dan agihan bakul makanan bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan di kawasan Opar terus diberi perhatian meliputi penyediaan kemudahan asas, peningkatan jalan pertanian serta pengukuhan infrastruktur bagi menyokong kegiatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Pembangunan bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi turut melibatkan usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Kampung Sebiris pada Sabtu.
Dalam aspek pendidikan, Billy berkata insentif secara ‘one-off’ terus disalurkan kepada anak-anak Opar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Program anjuran Majlis Daerah Lundu itu dihadiri kira-kira 300 penduduk dan turut melibatkan penyertaan Zon 3 Biawak, Zon 9 Serayan serta Zon 11 Sebako.
Antara pengisian program ialah penyerahan bakul makanan, pertandingan nyanyian lagu berantai melibatkan enam kumpulan serta penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail serta Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail. -EDISI UKAS