Sembilan Sesi Latihan Seminggu Bawa Sarawak Raih Emas Polo Air
SELANGOR: Komitmen menjalani sembilan sesi latihan setiap minggu sejak Januari lalu membuahkan hasil apabila skuad polo air Sarawak menamatkan saingan dengan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.
Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) merangkap Penolong Ketua Kontinjen, Pemanca Tan Kun Gee berkata, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi barisan atlet sepanjang menjalani persiapan menghadapi temasya berkenaan.
Menurutnya, skuad polo air Sarawak memulakan latihan berpusat pada Januari lalu dengan sembilan sesi latihan setiap minggu, termasuk sesi latihan pada waktu pagi.
“Para pemain telah berlatih dengan sangat gigih. Kami menjalani sembilan sesi latihan setiap minggu dan saya fikir mereka sememangnya layak menerima kejayaan ini.
“Mereka telah memberikan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh persiapan dan hasilnya dapat dilihat menerusi kejayaan meraih dua gol yang membawa kemenangan untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pasukan polo air wanita dan lelaki Sarawak merangkul dua pingat emas dalam saingan polo air SUKMA Ke-22 Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, pada Isnin.
Kun Gee menambah, persaingan sengit pada perlawanan berkenaan turut menguji ketahanan mental dan fizikal para pemain, khususnya pada suku pertama apabila mereka berdepan tekanan daripada pasukan lawan.
“Pada suku pertama, mereka sedikit tertekan. Namun, kami telah beberapa kali berdepan dengan pasukan tersebut dan kebanyakannya kami berjaya menewaskan mereka.
“Jadi, pemain sepatutnya mempunyai lebih keyakinan kerana mereka tahu kemampuan pasukan sendiri,” katanya.
Beliau juga berkongsi, kejayaan itu amat bermakna kerana barisan pemain yang dibawa ke SUKMA kali ini merupakan generasi baharu dan kebanyakannya belum pernah beraksi dalam temasya berkenaan.
“Semua pemain ini baharu dan ini merupakan kali pertama mereka bermain di SUKMA. Tiada seorang pun daripada mereka pernah beraksi sebelum ini.
“Namun, mereka telah menyertai banyak pertandingan peringkat junior termasuk kejohanan kategori umur dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), selain memenangi beberapa pertandingan,” katanya.
Dalam pada itu, Kun Gee berkata kejayaan tersebut turut menamatkan penantian panjang Sarawak untuk kembali meraih emas polo air selepas kali terakhir melakukannya pada 1990.
“36 tahun merupakan tempoh yang sangat lama. Kami pernah memenangi emas pada 1990 dan selepas itu polo air tidak lagi mendapat perhatian seperti dahulu.
“Jadi, kejayaan kali ini sangat bermakna dan kami mahu menggunakan pencapaian ini sebagai permulaan untuk membina pasukan yang lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak kini menyasarkan untuk membina pasukan polo air yang lebih mantap bagi menghadapi kejohanan akan datang, termasuk SUKMA seterusnya.
“Saya memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan. Kami mahu membina pasukan yang lebih kuat untuk SUKMA akan datang.
“Mudah-mudahan polo air terus dipertandingkan dan kami akan kembali dengan pasukan yang lebih kuat,” katanya.-EDISI UKAS