Polo Air Sarawak Sasar Kembali Ke Era Kegemilangan, Atlet Muda Jadi Sandaran
SELANGOR: Barisan atlet muda menjadi sandaran Sarawak untuk mengembalikan kegemilangan negeri itu sebagai antara kuasa terkuat polo air negara pada era 1980-an dan 1990-an.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ketua Kontinjen Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perkembangan positif ditunjukkan pasukan polo air Sarawak pada temasya kali ini membuktikan program pembangunan dan latihan yang dilaksanakan mula membuahkan hasil.
Menurut beliau, perkara itu lebih membanggakan apabila kebanyakan atlet polo air Sarawak masih muda, dengan pemain termuda berusia 14 tahun.
“Persaingan sangat sengit, namun saya melihat ketekunan dan kegigihan atlet kita, khususnya kerana kebanyakan mereka masih sangat muda. Atlet termuda kita berusia 14 tahun.
“Program latihan polo air kita telah menunjukkan keberkesanan dan kita mahu program ini terus ditambah baik supaya lebih ramai atlet dapat diketengahkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pasukan polo air wanita dan lelaki Sarawak merangkul dua pingat emas dalam saingan polo air SUKMA Ke-22 Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, pada Isnin.
Datuk Gerald menambah, pembangunan polo air perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan Sarawak mempunyai lebih ramai atlet berkualiti yang berpotensi mewakili negara pada temasya sukan antarabangsa.
Katanya, beliau turut berharap Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) memperkukuh pembangunan polo air dengan memperluas penyertaan ke bahagian-bahagian lain di Sarawak.
“Saya telah berbincang dengan Presiden ASAS dan berharap kita dapat memberi lebih penekanan kepada pembangunan polo air di bahagian-bahagian lain supaya tidak hanya bergantung kepada atlet dari Kuching.
“Jika lebih ramai menyertai polo air, sudah tentu perkembangannya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyediaan kemudahan sukan yang mencukupi, khususnya kolam renang, penting bagi menyokong usaha mencungkil bakat baharu dalam polo air.
“Kita memerlukan kolam renang. Apabila mahu membangunkan sesuatu sukan, kita perlu menyediakan kemudahan kolam renang supaya kita dapat mengenal pasti pemain terbaik untuk mewakili pasukan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penglibatan dalam polo air memerlukan seseorang atlet mempunyai asas renang yang kukuh selain stamina, disiplin dan pemahaman terhadap strategi permainan.
“Untuk menceburi sukan ini, seseorang perlu bermula sebagai perenang terlebih dahulu. Anda tidak boleh terus menceburi polo air tanpa asas tersebut.
“Malah untuk berenang berulang-alik seperti itu, seseorang perlu mempunyai stamina dan disiplin yang tinggi. Setelah mempunyai asas sebagai perenang, barulah seseorang boleh beralih kepada polo air kerana sukan ini memerlukan banyak strategi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Sarawak juga berhasrat mengembalikan prestasi gemilang pasukan polo air negeri yang pernah menjadi antara pasukan terkuat negara pada era 1980-an dan 1990-an.
“Jika anda masih ingat, pada era 1980-an dan 1990-an, pasukan polo air Sarawak merupakan antara pasukan terkuat ketika itu. Jadi, kini kita mahu mengembalikan kegemilangan tersebut.
“Dengan kepimpinan dan usaha berterusan ASAS, saya fikir kita mampu melakukannya sekali lagi,” katanya.-EDISI UKAS