Latihan Kurang Seminggu Menjadi, Kuartet 4x100 Meter Wanita Sarawak Puas Rangkul Emas
SERDANG: Latihan ketat kurang seminggu nyata berbaloi buat kuartet 4x100 meter wanita Sarawak apabila berjaya merangkul emas dalam acara tersebut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus memadam penantian 40 tahun Sarawak untuk memenangi acara tersebut.
Gandingan Ormilla Octavia Codday Nyadau, Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly dan Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna mencipta kejutan besar SUKMA kali ini apabila berjaya menyingkirkan prospek emas dari negeri lain selepas mencatat masa terpantas 46.890 saat dalam perlumbaan akhir di Stadium UPM Serdang petang tadi.
Individu yang paling gembira pastinya Ormilla Octavia yang membuat kemunculan terakhir pada SUKMA kali ini selepas sekadar menyumbang gangsa dalam acara sama pada edisi 2024.
Menurut atlet berusia 20 tahun kelahiran Long Jegan Miri itu, pengorbanan beliau dan rakan sepasukan berlatih dalam tempoh yang singkat akibat keadaan jerebu yang melanda Sarawak khususnya di Kuching nyata berbaloi selepas kejayaan manis mereka itu.
“Semasa latihan pusat, kami tidak berlatih bersama-sama sebab saya bersekolah dan mereka yang lain berlatih tanpa saya.
“Sarawak sedang jerebu, jadi kami tidak dapat berlatih bersama-sama. Inilah pengorbanan kami,” katanya ketika ditemuramah UKAS.
Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, Ormilla Octavia berkata beliau dan rakannya yang lain tidak menjangka memenangi emas acara tersebut kerana sasaran asal hanyalah untuk memperbaiki catatan masa peribadi.
“Kami memang tidak menjangka kami akan memenangi acara ini sebab kami memang tidak expect kami boleh menang.
“Kami hanya nak buat yang terbaik untuk Sarawak dan perbaharui Personal Best kami,” ujarnya lagi.
Sementara itu, jurulatih skuad olahraga Sarawak, Lim Teck Leong menyifatkan kejayaan itu sebagai ‘rezeki’ untuk kontinjen Sarawak mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh atletnya sepanjang latihan sebelum ke Selangor.
Menurut beliau, atletnya menerima latihan pelbagai jurulatih dan lokasi, menyukarkan mereka untuk mengumpul mereka berlatih sebagai satu pasukan.
“Mereka berkumpul berlatih semasa kem kontinjen Sarawak baru-baru ini selama empat hari sahaja. Mereka mendapat latihan dari pelbagai jurulatih, bukan senang hendak mengumpul mereka. Ini adalah rezeki kuartet kita.
“Dua tahun lepas, (kuartet) wanita kita sudah cipta sejarah menang gangsa. Tapi tahun ini, cipta lagi satu sejarah menang pingat emas.
“Ini memang sejarah untuk Sarawak, kita tidak pernah menang emas acara ini sejak SUKMA bermula,” katanya dengan nada gembira.
Dalam perlumbaan tersebut, pingat perak milik kuartet Terengganu dengan catatan masa 46.940 saat manakala gangsa milik Johor dengan catatan masa 47.240 saat. - EDISI UKAS